Tuesday, 5 April 2016

Adakah penggunaan kosmetik bertentangan dengan kehendak syariah?

Membuat perubahan yang bersifat kekal pada badan (melalui suntikan, pembedahan atau sebagainya), jika tujuannya adalah untuk membaiki kecacatan pada badan (supaya ia kembali kepada keadaan normalnya atau kepada rupa biasanya), ia diharuskan dengan syarat bahan yang digunakan adalah halal/suci dan tidak menyebabkan mudarat yang lebih besar dari kecacatan yang sedia ada itu.

Adapun jika tujuannya semata-mata kecantikan, ia dilarang kerana termasuk dalam mengubah ciptaan Allah dan melakukan pembaziran tanpa perlu. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu pada badannya, perempuan-perempuan yang minta dicukur alis (bulu keningnya) dan perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Mas’ud r.a.)

Imam Nawawi semasa mensyarahkan hadis di atas, beliau menegaskan; sabda Nabi s.a.w. “perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik” menunjukkan bahawa yang diharamkan ialah bagi orang-orang yang melakukan perkara tersebut (yakni mengubah gigi) untuk tujuan kecantikan semata-mata. Adapun kerana keperluan iaitu untuk mengubati atau untuk membaiki kecacatan pada gigi dan seumpamanya, maka diharuskan”. (Syarah Soheh Muslim, juz. 14, Kitab al-Libas Wa az-Zinah).

Kesimpulannya, menyuntik vitamin C, Botox atau sebagainya jika tujuannya adalah untuk membaiki kecacatan di kulit atau badan (seperti parut yang menjelekkan pada pandangan orang lain dan menyukarkan penampilan diri), diharuskan dengan syarat-syarat tadi. Adapun hanya semata-mata untuk menghias diri seperti supaya kulit kelihatan lebih tegang, nampak lebih muda dan sebagainya, tidak harus kerana ia mengubah ciptaan Allah, melakukan pembaziran tanpa perlu dan mungkin juga menyebabkan pemalsuan/penipuan (jika membabitkan orang lain).

Mengenai pekerjaan menyuntik vitamin tersebut, ia kembali kepada tujuan tadi. Jika pusat rawatan menjalankan rawatan mengikut skop yang diharuskan oleh Syariat Islam, haruslah seorang muslim berkerja di situ. Jika ia menjalankan rawatan hanya mengikut kehendak pelanggan, tanpa mengambil berat ketetapan Syariat, tidak harus seorang muslim berkerja di situ kerana gaji/upahnya berlegar di antara haram dan syubhah. 

Tambahan;

1. Adapun berusaha mengekal kemudaan dan kecantikan kulit dengan pemakanan (herba atau sebagainya), ia diharuskan kerana usaha itu melalui proses semulajadi tubuh, bukan dengan melakukan sesuatu untuk mengubah ciptaan Allah. Disyaratkan makanan itu halal dan tidak memudaratkan.
2. Begitu juga diharuskan bahan-bahan kosmetik yang bersifat luaran seperti bedak, krim dan sebagainya kerana sekalipun berlaku perubahan pada kulit, ia bukan bersifat kekal di mana ia akan tertanggal atau boleh ditanggalkan. Maka ia mengambil hukum mewarnai rambut, bercelak dan berinai yang diharuskan dengan nas Syarak. Namun disyaratkan bahan-bahan kosmetik itu suci dan tidak memudaratkan tubuh/kulit.

Wallahu a’lam.


PUNCA MASALAH

  1. Ingin menutup segala cacat cela di bahagian yang menyerlah.
  2. Dihina oleh masyarakat sekeliling.
  3. Merasa bangga apabila  kecantikan sendiri terserlah.
  4. Dapat mengekalkan struktur kecantikan dengan menggunakan barangan kosmetik.
JALAN PENYELESAIAN

Kita seharusnya bersyukur dengan segala nikmat yang diberi oleh pencipta(ALLAH) kerana segala yang dicipta oleh-Nya adalah sempurna. Sekiranya kita ingin mengekalkan kecantikan, kita haruslah berusaha menjaganya sebaik mungkin. Segala kosmetik yang kita gunakan hari ini hendaklah bertentangan dengan konsep memenuhi dan bertentangan dengan kehendak syariah serta tidak mengubah fizikal kerana setengah kosmetik hanya merosakkan tubuh badan dan mengubah ciptaan.

RUMUSAN

Sebagai makhluk ciptaan ALLAH, kita dicipta sempurna akal fikiran,fizikal,mental dan lain lain. Maka
kita tidak perlu mengubah segala yang dicipta olehNya. Seperti kosmetik yang digunakan zaman ini tidaklah 100% menghalalkan niat kita untuk menghiasi diri malah setengah orang menggunakan kosmetik ini untuk tujuan menunjukkan kecantikan sahaja. Perkara ini yang menimbulkan fitnah terhadap seseorang walaupun mereka tidak sedar mereka adalah punca terhadap situasi tersebut. Justeru, kecantikan yang menyerlah adalah daripada diri sendiri bukannya bergantung sepenuhnya terhadap produk kosmetik.

RUJUKAN

http://www.wanista.com/category/kesihatan-1/
http://www.wanista.com/bahan-kimia-terlarang-dalam-produk-kecantikan-yang-boleh-rosakkan-kulit/
http://wanitaandfashion.blogspot.my/2014/06/pentingnya-kosmetik-bagi-wanita.html


No comments:

Post a Comment